Pengembaraan, masa dan kepercayaan terhadap projek kebangkitan semula Selangor menjadi sandaran kepada pengenalan Karsten Neitzel sebagai ketua jurulatih baru skuad Gergasi Merah itu.

Individu berusia 52 tahun itu mempunyai pengalaman luas sebagai pemain dan jurulatih di negara kelahirannya, Jerman, dengan tugasan terakhirnya mengemudi kelab divisyen empat negara itu, Rot-Weiss Essen.

Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Michael Feichtenbeiner, dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, hari ini menjelaskan bahawa dia cukup mengenali dan mempunyai sebab tersendiri untuk memilih bekas penolong jurulatih Freiburg dan Urawa Reds itu.

"Salah satu kelebihan Karsten adalah saya mengenalinya secara peribadi untuk sekian lama kerana kami pernah bekerjasama satu ketika dahulu.

"Ketika itu, dia salah seorang pemain dalam pasukan saya, jadi ia menjadi salah satu fakor.

"Satu lagi faktor adalah dia telah membuktikan bahawa dia seorang jurulatih yang boleh bekerjasama dengan pemain muda, terutama ketika bersama pasukan kedua kelab Bundesliga, Freiburg.

"Selepas itu, dia menjadi ketua jurulatih buat kelab yang baik di Jerman dan telah membuktikan dia boleh bekerjasama dengan pemain senior.

"Saya fikir dia boleh membawa pengalaman yang dimilikinya ke dalam pasukan ini.

"Dia seorang pemain yang hebat di Jerman dan menghabiskan kebanyakan kariernya bersama kelab divisyen dua dan Bundesliga.

"Dia seorang pemain tengah yang amat rajin sebelum menjadi jurulatih yang sangat beremosi, jadi saya fikir dengan personaliti seperti itu, ia akan mendatangkan keuntungan buat pemain kami," katanya.

Feichtenbeiner turut mengesahkan bahawa Neitzel sudah berjumpa dengan barisan pemainnya dalam sesi latihan.

"Benar, saya sudah memperkenalkannya dalam sesi latihan kedua terakhir musim ini.

"Saya fikir dia mempunyai lebih masa untuk menyaksikan latihan kami tetapi amat jelas, saya akan mengendalikan pasukan ini sehingga penghujung musim," tambahnya.