Ketua jurulatih PDRM, Fauzi Pilus, bertekad untuk memastikan pasukannya kekal fokus terhadap Piala Malaysia walaupun mengakui sedikit resah mengenai nasib mereka yang kini sedang bergelut di zon penyingkiran Liga Super.

Berbanding pencabar lain dalam separuh akhir Piala Malaysia, saingan terakhir Liga Super masih mempunyai makna buat PDRM, yang wajib meraih tiga mata ketika berdepan Sarawak pada 22 Oktober.

Biarpun misi untuk terus kekal dalam Liga Super lebih penting, namun trofi Piala Malaysia tetap mustahak buat Fauzi, tambahan mereka hanya tewas tipis 1-2 pada separuh akhir pertama.

Bagi Fauzi, dia berharap pemain mampu untuk terus mengekalkan fokus daripada satu ke satu perlawanan yang lain, sambil mengharapkan tiada kecederaan serius menimpa tonggak utama.

"Dengan keadaan pasukan yang kurang selamat, apabila berada di kedudukan antara pasukan yang terbawah Liga Super, tumpuan pasukan masih diberikan kepada Liga Super.

"Walaupun kami bakal menghadapi separuh akhir kedua Piala Malaysia, Liga Super langsung kami tidak lupakan. Liga Super juga masih fokus utama kami," ujarnya.

Fauzi juga berharap dua pemain negara, Abdul Latiff Suhaimi dan Fakrul Aiman, serta penyerang Singapura, Safuwan Baharuddin, yang akan melapor diri esok bebas daripada sebarang kecederaan.

Dia tidak mahu senarai kecederaan pemain bertambah selepas mengesahkan ketua pasukan, Faizal Muhammad, tidak akan beraksi sehingga tamat musim ini ekoran masalah di bahagian betis.

"Kami mengharapkan pemain seperti Safuwan, Latiff dan juga Aiman, akan kembali kepada pasukan tanpa kecederaan. Daripada berita yang kami terima, ketiga-tiga mereka bebas daripada kecederaan.

"Kami mengharapkan dengan kembalinya pemain-pemain tersebut, mereka mampu untuk melonjakkan lagi semangat pemain lain untuk menghadapi Kedah."