FAS belum mahu sahkan kedudukan Sathianathan 

Oleh Shaiful Shamsudin 25 Ogos 2020 1281
FAS belum mahu sahkan kedudukan Sathianathan 
Tiada jaminan buat jurulatih, B. Sathianathan, akan kekal apabila Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) belum dapat membuat sebarang kenyataan berhubung pendirian mereka berkenaan kedudukan itu biarpun Gergasi Merah menjulang piala musim ini.

Masa depan bekas pengendali skuad kebangsaan itu mula menjadi tanda tanya susulan kontraknya bersama Selangor akan berakhir 30 November depan. 

"Sasaran kami tidak berubah, kami mahu masuk kejohanan AFC tahun depan jadi kami perlu meraih dua kedudukan terbaik Liga Super ataupun menjuarai Piala Malaysia pada tahun ini. 

"Sama ada Sathianathan akan kekal atau tidak, ia akan dibincangkan di peringkat jawatankuasa. Biarpun tidak menang (trofi) atau kalah, kami masih akan bincangkan kedudukannya.  

"Macam tahun lalu dia tidak menang apa-apa tetapi masih kekalkan tugasnya, jadi kami akan membuat beberapa penilaian sebelum memuktamadkan keputusannya. 

"Apa yang saya cakap sekarang ini mungkin tidak sama dengan apa yang bakal dibincangkan kelak," kata Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon, ketika ditemu bual wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, di Shah Alam hari ini. 
 
Spekulasi mengatakan khidmat Sathianathan tidak dikekalkan pada musim depan sementara badan induk itu sudah memulakan pencarian mendapatkan kepakaran baru dengan beberapa nama telah dikaitkan.

"Memang ada perbincangan dengannya (mengenai situasi semasa) tetapi ia dibincangkan secara tertutup. Selagi tiada pengumuman, Sathianathan masih merupakan ketua jurulatih kami. 

"Aidil Sharin Sahak (jurulatih Kedah) tiada dalam senarai calon kami sementara Michael Feichtenbeiner kekal sebagai pengarah teknikal dan jurulatih Selangor II," tambahnya. 

Sementara itu, FAS menerima penajaan sebanyak RM120,000 setahun daripada syarikat animasi negara, Les Copaque.

 

DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah selaku presiden FA Selangor sudi meluangkan masa dan berkenan berangkat...

Posted by FA Selangor on Tuesday, August 25, 2020


Terkenal dengan animasi Upin dan Ipin, Les Copaque memberi tajaan itu bagi menyokong usaha program pembangunan bola sepak Selangor yang dikenali sebagai Sekolah Bola Sepak FAS.

Setakat ini, enam sekolah rendah dengan kira-kira 500 murid menyertai program itu dan FAS menyasarkan 12 sekolah akan menyertai program berkenaan menjelang hujung tahun ini. 

Bagaimanapun, persatuan tersebut tidak mendedahkan tempoh perjanjian penajaan yang ditandatangani itu namun ia bergantung kepada petunjuk prestasi utama (KPI) program berkenaan.

Turut hadir dalam majlis itu hari ini, Presiden FAS, Tengku Amir Shah Sultan Sultan Sharafuddin Idris dan Ketua Pengarah Kandungan Les Copaque, Ainon Ariff.
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen