Pasukan Liga Super, Terengganu FC (TFC) berjaya mendapatkan khidmat tonggak Singapura, Muhd Faris Ramli, bagi mengisi kuota pemain Asean musim depan.

Pemain sayap itu pernah beraksi bersama PKNS FC pada 2018, kemudian Hougang FC dalam Liga Singapura sebelum khidmatnya dipancing pengendali TFC, Mohd Nafuzi Zain.

Faris, 27, menjadi antara rombakan di posisi serangan selepas Malik Mat Ariff, Ahmad Syamim Yahya, Shahrul Aizad Zulkifli, Khairul Izuan Rosli dan Nabil Ahmad Latpi dilepaskan TFC.

Sebelum ini, kuota Asean pasukan itu diisi pemain Kemboja berketurunan Perancis, Thierry Chantha Bin, namun gagal menyinar di bawah kendalian Nafuzi.

"Ya, pemain itu (Faris) sah menjadi milik TFC selepas menandatangani kontrak setahun, kelmarin.

"Kehadiran pemain terbaik Singapura ini diharap dapat menambah ketajaman jentera serangan TFC," kata Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)