Peluang pemain sayap Terengganu FC (TFC), Faris Ramli, untuk menyertai sesi latihan pasukannya dalam masa terdekat ini masih samar.

Menurut ketua jurulatih, Mohd Nafuzi Zain, mereka masih menanti proses kemasukan warga Singapura itu yang sedang diuruskan pihak pengurusan.

Sambil berharap Faris dapat segera turut serta menjalani latihan di Kuala Terengganu, Nafuzi yakin bekas pemain Hougang United itu hanya menunggu masa yang sesuai untuk tiba.

"Buat masa ini, dia (Faris) masih berada di negaranya, Singapura, dan permohonan untuk memasuki Malaysia dilakukan oleh pihak pengurusan.

"Sebagai jurulatih, saya fokus dengan barisan pemain yang ada tapi sudah tentu kami berharap Faris dapat kembali secepat mungkin," katanya.

Faris, 28, yang juga bekas tonggak PKNS FC mula memperkuatkan skuad Sang Penyu itu musim ini dan membuat tiga penampilan bersama pasukan itu sebelum Liga Super ditangguhkan.

Keputusan pihak kerajaan Malaysia dan Singapura untuk membuka pintu sempadan antarabangsa, jelasnya menjadi penentu bila dia dapat kembali ke padang latihan.

"Belum pasti lagi. Sekarang sedang tunggu kedua-dua negara buka sempadan," ujarnya ringkas menerusi WhatsApp hari ini.

*Kredit foto: Liga Bolasepak Malaysia (MFL)