Pemain sayap, Faris Ramli, semakin hampir kembali ke pangkuan Terengganu FC (TFC) untuk berlatih selepas tiga bulan berada di negaranya, Singapura.

Menurut tonggak berusia 27 tahun itu, pihak berkuasa republik berkenaan sudah pun memberikan kebenaran untuk menyeberangi Tambak Johor dan memasuki Malaysia.

Begitupun, menurut Faris, dia perlu membuat permohonan berasingan kepada Jabatan Imigresen Malaysia, yang masih menutup pintu sempadan negara kepada warga asing.

"Setakat ini, saya sudah mendapat 'lampu hijau' daripada kerajaan Singapura tapi belum dibenarkan bergerak kerana menunggu status daripada pihak Imigresen Malaysia pula.

"Saya harap akan menerima maklum balas positif secepat mungkin kerana dah tak sabar kembali ke Kuala Terengganu dan menjalani latihan bermula Isnin ini," ulasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, TFC memulakan langkah awal mengikuti prosedur operasi standard (SOP) latihan bola sepak dengan operasi nyahkuman pagi tadi.

Antara kawasan terlibat adalah padang latihan, gimnasium dan bilik persalinan di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak sambil dipantau pihak berkuasa.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)