Farhod Tadjiyev teruja kembali ke T-Team

Oleh Staff Writer 19 Disember 2016 3
Farhod Tadjiyev teruja kembali ke T-Team
Penyerang berasal dari Uzbekistan, Farhod Tadjiyev, nyata teruja kembali menyarung jersi T-Team musim depan sambil menyifatkan skuad itu mempunyai potensi yang besar untuk mencapai kejayaan pada masa akan datang.

“Skuad kali ini berbeza berbanding kali terakhir saya di sini kerana dibarisi majoriti pemain-pemain muda yang berbakat.

“Sepanjang sesi latihan setakat ini, saya dapat lihat mereka menunjukkan semangat untuk menonjolkan kelebihan masing-masing bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Malah, pemain-pemain muda ini sangat rajin dan mempunyai masa depan yang cerah di dalam karier mereka,” kata pemain berusia 30 tahun itu.

Meskipun belum disahkan sebagai pemain The Titans, penyerang prolifik yang mula menyertai T-Team pada 2014 sehingga penghujung 2015 itu dilihat berjaya menambat hati pengendali pasukan, Rahmad Darmawan.

“Kami masih menunggu beberapa pemain import lagi untuk diuji, iaitu di posisi serangan untuk mengukuhkan ketajaman barisan hadapan.

“Farhod adalah seorang penyerang tulen dan dia mampu menjaringkan gol serta membantu gerakan menyerang ketika sesi latihan," kata Rahmad.

Rahmad turut menjelaskan jika lulus ujian perubatan dan bersetuju dengan kontrak yang ditawarkan, tiada masalah buat Farhod untuk menjadi sebahagian daripada pasukan ini.

“Seorang lagi pemain dari Ivory Coast juga dalam senarai kami, namun bergantung kepada perbincangan berkenaan kontrak tetapi jika ada pemain yang lebih bagus, tidak salah untuk kami menilai pemain lain,” tambah Rahmad.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen