Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Md Dali Wahid, menegaskan keutamaan untuk Liga Malaysia terarah kepada pengadil tempatan dan tiada perancangan untuk mengetengahkan tenaga luar.

Kehadiran pengadil Jepun untuk aksi final Piala FA 2019 tampak gagal menarik perhatian FAM dan Md Dali menekankan keutamaan diberikan kepada pengadil tempatan untuk saingan Liga Malaysia musim ini.

Bagi pihak FAM, mereka tiada perancangan khusus untuk membawa mana-mana pengadil luar untuk diketengahkan dalam perlawanan besar saingan musim ini.

"Pengadil tempatan kini mengendalikan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Iraq dan FIFA serta Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengiktiraf pengadil Malaysia. Kami masih mengutamakan pengadil tempatan," katanya ketika ditanya wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom.

Bagaimanapun, tiada jaminan pasti daripada badan itu jika pihak penganjur, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), berhasrat untuk sekali lagi menggunakan khidmat pengadil luar tetapi tetap akan dipertimbangkan.

"Kami mengeluarkan pengadil tetapi kalau MFL mahu tenaga luar, kami ikut sahaja. Namun, ketika ini kami mencadangkan pengadil tempatan."