"Tiada liga pembangunan, tiada wang agihan hak penyiaran." Demikian ditegaskan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berhubung dua liga tambahan yang akan diperkenalkan secara berperingkat bermula musim depan.

FAM menggesa kelab dan persatuan negeri memainkan peranan utama dan jika tiada langkah serius, maka badan induk itu tidak akan teragak-agak untuk menafikan wang agihan hak penyiaran itu atas alasan tiada projek pembangunan.

Secara jelas, wang agihan musim depan hanya akan dinikmati jika syarat utama melibatkan projek pembangunan peringkat akar umbi dijalankan selain keperluan skuad utama.

"Mereka perlu mematuhi kriteria ini, sebab itulah pelesenan kelab diperkenalkan.

"Kalau mereka tidak jelas mengenai audit kewangan, ke mana wang mereka dilaburkan atau adakah digunakan dengan baik atau tidak, FAM berasakan mereka tidak patut mendapat wang agihan hak penyiaran," ujar Tunku Ismail ketika ditemui dalam Mesyuarat Exco FAM di Kelana Jaya, hari ini.

Pada masa sama, FAM turut akan bekerjasama dengan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) dalam usaha menjadikan penubuhan program itu lebih jelas dengan kehadiran FAM.

"Ketika ini, bola sepak akar umbi tiada terkait di setiap negeri dan daerah. Tiada galakan di situ," menurut Tunku Ismail lagi.

Dalam perkembangan lain, FAM mengumumkan penajaan bernilai RM3.9 juta daripada Yakult bermula 2018 hingga 2020.