FAM perkenal sistem baru pendaftaran pemain dan pegawai

Oleh Shaiful Shamsudin 18 November 2016 61
FAM perkenal sistem baru pendaftaran pemain dan pegawai
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan kerjasama Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bakal memperkenalkan sistem pendaftaran pemain dan pegawai pasukan-pasukan Liga Malaysia (Liga M) serta ahli-ahli gabungan menerusi Program FAM MyPAS, Disember ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh FAM hari ini, program yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 7 November lalu menerusi projek badan induk itu, ‘FIFA Connect’ akan membantu dalam integrasi maklumat-maklumat pemain serta pegawai secara menyeluruh dan sistematik untuk memudahkan pentadbiran dan pengurusan pasukan masing-masing.

Melalui platform itu juga, kesemua pemain dan pegawai yang berdaftar akan diberikan pengenalan diri (ID) tersendiri dan akan menjadi asas dari aspek kawalan umur, perlindungan pemain bawah umur serta pembangunan bola sepak di setiap peringkat berteraskan ketelusan maklumat. 

“Sejajar dengan matlamat kami sebagai organisasi bola sepak yang sentiasa memandang ke hadapan, teknologi yang diguna pakai FAM MyPAS ini akan memberi impak yang besar kepada pentadbiran pasukan-pasukan Liga Malaysia musim depan,” ujar Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. 

Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program tersebut, FAM akan menganjurkan sesi bengkel latihan bersama para pegawai pentadbir dari setiap pasukan Liga M dan ahli-ahli gabungan pada 28 dan 29 November ini bertempat di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen