Enam pasukan telah diberi lesen kebangsaan oleh First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia 2020.

Ia melibatkan dua pasukan Liga Super, iaitu Melaka dan PKNS FC, manakala empat pasukan daripada Liga Perdana, UKM FC, Selangor United, PDRM FA dan Pulau Pinang.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, dalam satu kenyataan berkata FIB Pelesenan FAM yang bermesyuarat hari ini bersetuju memberi lesen kebangsaan dengan bersyarat kepada pasukan Kelantan dan Sarawak disebabkan beberapa jaminan yang diperlukan daripada pihak ketiga.

"Kedua-dua pasukan telah mengemukakan dokumen sokongan yang menunjukkan jaminan untuk semua perkara yang tertunggak dan akan dipantau untuk memastikan semua jaminan itu dipenuhi. Jika ada yang gagal, lesen kebangsaan mereka boleh dibatalkan," katanya.

Stuart memaklumkan dua pasukan berkenaan serta pasukan UKM diberi amaran oleh FIB Pelesenan FAM supaya lebih teliti dan memberi perhatian terhadap tarikh akhir lanjutan yang berakhir pada 30 Oktober lalu.

Dalam masa sama, beliau turut menegaskan walaupun kesemua kelab berkenaan telah menerima lesen kebangsaan berdasarkan penyelesaian daripada sebarang tunggakan sehingga 30 Jun lalu, sebarang tunggakan selepas tarikh berkenaan perlu diisytiharkan pelan penyelesaiannya kepada FAM selewat-lewatnya pada 15 Disember ini.

Stuart memaklumkan pasukan-pasukan terlibat dikehendaki menyediakan Surat Akuan Berkanun pada 15 Disember ini untuk mengisytiharkan bahawa jika mereka mempunyai sebarang bayaran tertunggak pada tarikh berkenaan dan pelan untuk melunaskan hutang-hutang berkenaan.

Ia bertujuan memastikan tiada sebarang tunggakan dari 2019 yang akan dibawa ke musim 2020.

"Sebagai penambahan kepada pengisytiharan itu, Unit Pelesenan Kelab akan menjalankan pemeriksaan ke kelab-kelab tertentu bagi memastikan kelab mengambil prosedur tertentu untuk menyelesaikan bayaran tertunggak dan ia perlu selari dengan apa yang telah mereka isytiharkan."

-- BERNAMA