Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, mengesahkan aksi persahabatan di antara skuad B-22 negara menentang Myanmar akan dipertimbangkan semula untuk dilangsungkan bulan depan.

Skuad B-22 negara bimbingan Frank Bernhardt dijadual menentang Myanmar pada 9 dan 11 Disember depan.

Ia dijangka menjadi aksi persahabatan terakhir pasukan pada tahun ini di samping ia juga merupakan sebahagian program persediaan untuk menghadapi Sukan SEA tahun depan.

Namun, perlawanan itu mungkin dibatalkan susulan isu Rohingya yang berbangkit kini.

"Belum pasti lagi. Sekembalinya saya ke Malaysia nanti, saya akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan pasukan B-22 negara untuk mempertimbangkan semula keputusan tersebut.

"Saya akan berjumpa dengan Datuk Rozabil (Abdul Rahman) di samping Frank Bernhardt pada minggu depan, sama ada kami akan pergi ke Yangon pada awal bulan depan," kata Hamidin yang sedang bersama skuad kebangsaan di Yangon.

Sebelum ini, skuad Harimau Malaysia digesa untuk memboikot Piala Suzuki AFF 2016 sebagai tanda protes berhubung isu Rohingya.

Namun, FAM bertegas tidak akan menarik diri sebelum Kabinet semalam memutuskan skuad negara akan terus bersaing dalam kejohanan di Yangon, Myanmar.