Penyerang Pulau Pinang, Faizat Ghazli, menganggap jaringan kemenangannya pada minit terakhir permainan sebagai kejayaan seluruh pasukan dan penyokong setia skuad Harimau Kumbang.

Pulau Pinang hampir menemani Terengganu ke saingan Liga Perdana musim depan apabila permainan terikat seri tanpa jaringan sehingga minit ke-88.

Bagaimanapun, mujur gandingan dua bekas penyerang Harimau Muda, Jafri Firdaus Chew dan Faizat Ghazli, membuahkan hasil yang cukup lumayan kepada pasukan itu.

Lorongan Jafri yang memperdayakan penjaga gol, Sharbinee Allawee, pantas disambar Faizat untuk memastikan Pulau Pinang kekal bersaing dalam Liga Super.

"Saya menjaringkan gol kerana saya fikirkan semua penyokong, pasukan dan keluarga. Itu sahaja," kata Faizat selepas tamat perlawanan, yang menyaksikan Pulau Pinang menewaskan Terengganu 1-0 di Stadium Bandaraya, kelmarin.

Tambah Faizat, semangat tidak kenal berputus asa yang sebenarnya membantu mereka menewaskan Terengganu.

Walaupun sebelum itu banyak peluang terhidang disia-siakan, akhirnya tuah nyata menjadi milik Pulau Pinang.

"Senang sahaja. Jangan putus asa. Kalau kita buat sesuatu, kalau gagal, cuba lagi. Mungkin ada peluang lagi," katanya.

Pulau Pinang menamatkan kempen Liga Super musim ini di tangga kesembilan, mengatasi Pahang, PDRM dan Terengganu, dengan mengumpul 22 mata.

Skuad itu mengumpul lima kemenangan, tujuh seri dan 10 kekalahan dalam 22 perlawanan.