Calon Anugerah Puskas 2016, Mohd Faiz Subri, masih menanti jawapan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung kuota pengiring yang dibenarkan dalam Majlis Anugerah Bola Sepak FIFA di Zurich, 9 Januari depan.

Muncul sebagai anak Malaysia pertama dicalonkan dalam anugerah berprestij dalam bola sepak, Faiz berhasrat untuk membawa anggota keluarganya seramai empat orang ke Zurich.

Dia sudahpun mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk diajukan kepada FIFA.

Bagaimanapun, kata putus daripada FIFA hanya akan diketahui pada minggu hadapan.

Dan jika permohonannya itu tidak dipersetujui oleh FIFA, Faiz rela untuk mengeluarkan belanjanya sendiri untuk membawa keluarganya ke Zurich.

"Kami sedang menunggu jawapan daripada FIFA untuk mengetahui berapa jumlah kuota.

"Kalau boleh, saya mahu membawa semua anggota keluarga saya seramai empat orang, dua daripadanya adalah anak saya.

"Tetapi keputusan tidak boleh dibuat selagi tidak mendapat jawapan daripada FIFA," jelas Faiz yang dihubungi Nadi Arena.