Bekas tonggak Pulau Pinang, Faiz Subri, menyangkal dakwaan bahawa sedang mengalami masalah kewangan berikutan aktiviti Liga Malaysia (Liga-M) terjejas akibat COVID-19.

Pemain tengah itu mengambil langkah menjual begedil di media sosial peribadinya sehingga mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan.

"Ia mungkin salah faham.

"Saya dan isteri berbincang untuk menjual begedil ketika awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu bagi menjana pendapatan daripada tidak berbuat apa-apa," katanya.

Faiz kini berehat sehingga hujung musim ini berikutan kekangan pandemik itu selain pembatalan Liga M3 yang menghadkan peluang pemain untuk mencari pasukan.

"Saya masih aktif dalam bola sepak.

"Memandangkan kancah Liga M3 musim ini sudah dibatalkan, mungkin tahun depan saya akan kembali beraksi.

"Setakat ini bekas pasukan ada membuat tawaran tetapi saya belum memberi kata putus," katanya.





Namun, ia tidak menghalangnya untuk mengorak langkah dalam bidang yang diminati itu apabila sudah memulakan projek penubuhan akademi dan padang sintetik di Pulau Pinang.

"Saya sedang bekerjasama dengan seorang usahawan dan saya bercadang membuka akademi di Bukit Mertajam.

"Insya-Allah ia akan diputuskan dalam masa terdekat.

"Mungkin sebagai langkah pertama, saya perlu buat orang ramai mengenali padang di sana," katanya.

Dalam masa sama, selaku pemenang Anugerah PUSKAS yang diangkat sebagai gol tercantik 2016, pemain berusia 33 tahun itu berharap dapat mengekalkannya dalam simpanan sebagai kenangan manis buat keluarganya.

"Ia anugerah yang cukup bermakna dalam karier bola sepak dan mungkin saya berkesempatan untuk memperlihatkannya kepada cucu saya kelak."