Pemain tengah Pahang, Faisal Abdul Halim, sudah bersedia seandainya saingan Liga Super musim ini dibatalkan berikutan pandemik Covid-19.

Perancang berusia 22 tahun itu beralih ke bidang baru dengan mengusahakan perniagaan menjual burger bagi menampung hidup dan membantu golongan yang memerlukan.

Dia menjual burger dan roti john di sekitar kampungnya, Kampung Titi Mengkuang, Pulau Pinang sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Faisal akan menyiapkan sekurang-kurangnya 80 hingga 90 pesanan sehari untuk dihantarkan ke rumah pelanggannya.

"Selain daripada berlatih untuk mengekalkan kecergasan di rumah, saya juga mengadakan jualan burger dan roti john," katanya dalam satu perbualan video bersama wartawan Nadi Arena, Adam Zamri.

"Daripada hasil penjualan itu, saya dan dua orang abang saya mengumpulkan duit untuk membeli barangan keperluan buat golongan yang memerlukan."

Bagi Faisal, dia sudah bersedia seandainya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membatalkan liga musim ini kerana sudah memiliki pelan sokongan bagi menampung keluarganya.

"Kita terpaksa terima (jika liga dibatalkan).

"Kita perlu ada kerja sementara.

"Macam saya, saya ada jual burger dan ia mungkin boleh membantu saya," tambahnya.