Bekas pemain Selangor, Shahril Arsat, meminta exco Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menghormati saranan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, supaya melepaskan jawatan masing-masing jika masih sayangkan bola sepak negeri itu.

Shahril menyokong sepenuhnya saranan Tengku Amir sambil menghharapkan exco FAS dapat menilai kelemahan mereka dalam pengurusan bola sepak Selangor selama ini.

Dia menyifatkan Selangor masih jauh ketinggalan bukan sahaja dalam aspek pengumpulan dana, bahkan juga pelesenan kelab.

Sebagai sebuah pasukan yang kaya dengan tradisi sejarah bola sepak tanah air, katanya, pengurusan Selangor sepatutnya sudah berada di tahap yang sama seperti Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Daripada mereka berkata bahawa mereka sanggup berubah dan mahu menjadikan tahun 2017 sebagai tahun yang lebih baik, pada saya sudah terlambat.

"Mereka sebenarnya sudah tidak diperlukan lagi dalam persatuan," ujar Shahril.

Sementara itu, penganalisis sukan negara, Rizal Hashim, pula berpendapat exco FAS perlu menerima teguran dengan hati terbuka.

Tambahnya, semua exco FAS perlu bersatu hati dalam soal penswastaan pasukan selain menyokong sepenuhnya kepimpinan Presiden FAS, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Mereka harus terbuka, mereka harus merombak minda mereka supaya bersetuju dengan apa yang Raja Muda Selangor dan presiden FAS cuba lakukan, iaitu bergerak ke arah profesionalisme," jelasnya.

FAS pada Jumaat bersetuju menerima sekiranya Tengku Amir berminat menjadi presiden persatuan itu.

Malah, FAS berharap Tengku Amir memberi ruang kepada mereka untuk menawarkan penjelasan terhadap situasi sebenar yang berlaku dalam badan induk bola sepak Selangor berkenaan.