Pengurus Selangor, Amiruddin Shari, memberi jaminan bahawa Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, akan tetap bertemu barisan exco persatuan itu dalam masa terdekat bagi membincangkan dana yang diperlukan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Sebelum ini, Setiausaha Agung FAS, Rosman Ibrahim, memberi bayangan persatuan itu terpaksa mencari dana sendiri selepas tiada jaminan kerajaan negeri dalam memberikan sokongan kewangan buat persatuan itu musim depan.

Namun, Amiruddin mengesahkan pertemuan di antara Azmin dan Exco FAS akan tetap berlangsung dalam masa terdekat.

"Saya percaya beliau (Azmin) akan berjumpa dengan wakil FAS dalam masa yang akan ditetapkan nanti untuk membincangkan pendirian kerajaan negeri berkenaan perjalanan sukan bola sepak negeri secara keseluruhan.

"Begitu juga dengan hak Stadium Shah Alam di mana (ia adalah) di bawah kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan kami sedang menilai kembali statusnya mengikut kesesuaian dan juga penggunaan padang.

"Terutamanya padang itu bakal menjadi venue perlawanan-perlawanan membabitkan pasukan negara sehingga Sukan SEA. Jadi, kedudukan padang juga akan dinilai," katanya.

Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad, dijangka mengetuai delegasi Exco FAS untuk pertemuan dengan Azmin.

Dalam pada itu, Amirudin memuji pendekatan berdikari pengurusan PKNS FC dalam menyelesaikan isu penyertaan mereka dalam liga musim depan selepas menjadi ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor (PBSMS).

"Ini satu langkah ke depan untuk bagaimana melaksanakan pengurusan bola sepak yang berdikari.

"Ini antara ciri-ciri kelab yang matang dan saya harap ia boleh dicontohi oleh pasukan-pasukan lain," katanya lagi.

Sementara itu, bekas pemain Selangor dan beberapa ahli gabungan FAS berharap Menteri Besar Selangor segera memberi kata putus terhadap masa depan bola sepak Selangor.

Bekas pemain, Nazzab Hidzan, turut meluahkan kebimbangannya nama gah Selangor hanya akan tinggal sebagai satu sejarah jika tiada lagi sebarang bantuan dana diberikan kepada FAS.

Malah, masa semakin suntuk kerana liga akan berjalan dalam tempoh sebulan sahaja lagi.

"Untuk mendapatkan dana memang agak sukar tapi perlukan keajaiban.

"Boleh cuba... tapi saya rasakan agak sukar untuk mencari individu yang betul-betul berpotensi.

"FAS perlukan seseorang yang mempunyai dana yang agak baik ataupun penaja-penaja.

"Saya berasakan kalau beliau (Azmin) menyatakan enam bulan lebih awal, mungkin FAS boleh melakukan sesuatu." kata Nazzab.

"Menteri besar berdiam diri dan tidak memberi apa-apa tindak balas. Walhal, kami selaku ahli-ahli gabungan sebulat suara telah memilih beliau.

"Menteri-menteri besar sebelum ini tidak mempunyai masalah dengan pihak persatuan FAS," kata Pengerusi Kelab Bola Sepak Frenz United, Roslin Shariff.