Pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, mengesahkan seorang pemain import dan tiga tonggak tempatan akan meninggalkan naib juara Piala Malaysia itu.

Tidak mahu peminat setia Sang Penyu berasa kecewa dengan berita itu, Irfan berkata beliau sudah pun berada di Eropah bermula hari ini bagi mencari pengganti yang lebih baik.

Malah, dua pemain tempatan kini dalam radar TFC dan rundingan sedang dilakukan bagi mengisi kekosongan pemain yang akan menyarung jersi pasukan lain.

"Selepas aksi cemerlang tahun ini, ramai pemain utama dipancing tapi saya tak ambil pusing kerana tidak ada pemain mahupun jurulatih akan kekal dalam bola sepak.

"Peminat TFC jangan berasa kecewa kalau ada pemain yang kami mahu kekal, namun tidak mampu menyaingi tawaran pasukan lain yang lebih lumayan," jelasnya.

Masih diulit kekecewaan dalam final Piala Malaysia, Irfan menjelaskan kunjungannya ke Serbia, Uzbekistan dan Hungary adalah bagi menilai kelibat penyerang import dalam liga negara berkenaan.

Memperkemaskan jentera serangan menjadi misi utama bekas jurulatih Felda United itu yang tidak mahu terlalu meletakkan beban menjaringkan gol kepada kapten, Kipre Tchetche.

"Tidak akan halang (penghijrahan) kerana itu lumrah bola sepak. Malah, ketika mula-mula mengambil alih TFC, saya bermula dari kosong juga," tambah Irfan lagi.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)