Setiausaha Agung Felda United, Zulkarnain Muhammad, mengesahkan empat calon jurulatih sudah disenarai pendek untuk menggantikan Irfan Bakti yang akan meleraikan ikatannya secara rasmi bersama The Fighters,17 Oktober ini.

Irfan sudah menghantar surat rasmi kepada pengurusan Felda United mengenai peletakan jawatannya pada Isnin lalu.

Tindakan itu susulan pengumuman Irfan untuk meninggalkan skuad Felda selepas tamat aksi Liga Super menentang Sarawak di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada 24 September lalu.

Meskipun keputusan berkenaan akan diputuskan dalam mesyuarat ahli lembaga Felda 17 Oktober ini, Felda United bagaimanapun sudah mempunyai beberapa calon pengganti jurulatih berpengalaman itu.

"Calon cukup ramai. Saya juga sudah menyediakan beberapa nama untuk dibawa ke mesyuarat. Jika pengurusan menerima, baru kami akan bincangkan pelantikan jurulatih baru.

"Saya akan membawa nama dua calon tempatan dan dua calon jurulatih asing," jelasnya.

Difahamkan, bekas pengendali Selangor, Mehmet Durakovic, turut berada dalam senarai empat jurulatih yang disenarai pendek untuk mengendalikan The Fighters musim depan.

Irfan membuat keputusan untuk berundur susulan kegagalannya mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) Felda United, iaitu meraih sekurang-kurangnya satu piala musim ini.