Pengurus pasukan PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, mengesahkan E. Elavarasan akan terus mengendalikan pasukan itu bagi saingan Liga Super 2017, sekali gus menguatkan lagi petanda usaha menggabungkan PKNS dan Selangor tidak akan berlaku musim depan.

Bagi Mahfizul, Elavarasan sudah membuktikan kemampuannya dengan membawa kelab itu layak ke Liga Super musim depan dan juga muncul naib juara Piala FA musim ini.

PKNS juga sudah memberi kebebasan buat Elavarasan untuk memilih pemain dalam usaha membentuk barisan yang lebih ampuh bagi menghadapi saingan musim depan.

"Saya boleh mengesahkan coach Elavarasan akan terus menerajui pasukan selaku ketua jurulatih pada musim hadapan.

"Dia sendiri telah mempersiapkan pasukan dan kami sentiasa berhubung serta berkongsi tentang persiapan pasukan, juga tentang beberapa pemain yang dia ingin bawa masuk ke dalam pasukan," jelasnya.

Pengurusan PKNS juga akan menentukan barisan awang import musim depan dalam masa terdekat ini.

Dalam pada itu, Mahfizul berasa cadangan menggabungkan PKNS dan Selangor sebagai satu pasukan, memerlukan kajian mendalam kerana ia membabitkan kontrak pemain serta jurulatih pasukan itu.

Justeru, Mahfizul memberi bayangan jika usaha penggabungan itu menjadi kenyataan sekalipun, ia sukar untuk dilaksanakan bagi musim 2017.

"Pada pihak pengurusan PKNS FC sendiri, kami melihat isu tersebut sebenarnya memerlukan satu proses yang panjang dan perlu diteliti dengan mendalam kerana terlalu banyak aspek yang perlu dilihat."