Pengendali PKNS FC, E. Elavarasan, menjelaskan pasukannya masih dalam proses untuk membentuk keserasian serta kesebelasan yang berkualiti menjelang saingan Liga Malaysia musim 2017.

Skuad yang mendapat jolokan Semut Merah itu kembali bersaing dalam Liga Super tahun hadapan selepas meraih tempat kedua dalam Liga Perdana musim ini.

Mengakui cabaran dalam Liga Super lebih sukar, PKNS telah menandatangani beberapa pemain baharu, antaranya Amiridzwan Taj Tajuddin, Khyril Muhymeen Zambri, Bobby Gonzales, Affize Faisal Mamat serta Azmi Muslim.

Selain itu, Fauzan Dzulkifli serta Zamir Selamat turut kembali ke pangkuan pasukan itu selepas masing-masing pernah beraksi dengan PKNS sebelum ini.

Nyata mencari keserasian menjadi halangan utama di samping tahap kecergasan pemain yang turut diberikan perhatian.

"Saya berasa ia adalah sesuatu yang normal kerana pasukan kami membuat pertukaran sembilan atau 10 pemain.

"Untuk mendapatkan keserasian, ia akan mengambil sedikit masa tetapi kami sedang berusaha sedaya-upaya untuk membentuk keserasian tersebut.

"Jika cepat pemain dapat membentuk keserasian, ia lebih baik. Pada ketika ini, saya boleh katakan pasukan berada dalam keadaan yang baik.

"Saya tidak menyatakan pasukan berada dalam keadaan 100 peratus baik kerana kami masih dalam proses untuk membina semula pasukan," jelasnya.

Elavarasan juga mempertaruhkan kepercayaan kepada kemampuan Amiridzwan selepas pemain itu berehat panjang tahun ini akibat kecederaan lutut ketika bersama pasukan Terengganu.

Bekas pemain kebangsaan itu hadir dalam sesi ujian ketika PKNS menentang MISC-MIFA pada Jumaat lalu dan aksinya berjaya meyakinkan Elavarasan.

Jelasnya lagi, Amiridzwan masih mempunyai kualiti yang diharapkan bagi membantu benteng pertahanan PKNS.

"Ketika dia datang beraksi bersama kami, saya dapat melihat keupayaan yang dimilikinya.

"Tahap keyakinan dia juga sudah kembali dan berada di tahap yang terbaik. Apa yang diperlukannya ketika ini ialah sebuah pasukan yang boleh membantunya untuk membuat kemunculan semula.

"Saya berasa kami mempunyai peluang yang cukup baik untuk menggunakan khidmatnya dan dia mendapat ruang untuk mengembalikan semula kerjayanya. Itu perkara yang dapat saya lihat pada dirinya."