Durakovic tunggu lapan tonggak 

Oleh Azizan Hashim 14 Disember 2018 11821
Durakovic tunggu lapan tonggak 
Juara Piala Malaysia, Perak, menunggu kepulangan lapan pemain ke pangkuan pasukan bagi persiapan pra-musim Liga Malaysia musim 2019.

Mereka terdiri daripada lima pemain kebangsaan, iaitu Shahrul Mohd Saad, Nazirul Naim Che Hashim, Amirul Azhan Aznan, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy dan Kenny Pallraj serta trio Brazil, Gilmar Jose Da Silva Filho, Leandro Dos Santos dan Wunder Luiz Biten Court.

"Persiapan sudah bermula. Saya hanya menunggu pemain tersebut pulang daripada tugasan kebangsaan dan  bercuti," kata pengendali Perak, Mehmet Durakovic.

Katanya, ketiadaan mereka tidak menjejaskan latihan yang sudah bermula kerana beberapa pemain muda menyertai mereka.

Durakovic menjelaskan urusan menyediakan pasukan juga sudah bermula tetapi enggan mendedahkan sebarang butiran mengenai pemain.

"Majoriti pemain musim 2018 dikekalkan dan ada seorang dua pemain baru," katanya.

Jurulatih itu yang sudah memulakan persiapan pra-musim sejak 5 Disember lalu, gembira melihat semangat yang ditunjukkan anak buahnya dan yakin mereka bersedia untuk mengharungi musim 2019 yang lebih mencabar.

"Kami akan terlibat dengan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan kejohanan domestik," katanya.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen