Mehmet Durakovic tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa apabila Perak gagal mengutip mata penuh ketika menentang PKNS FC di Stadium Perak, malam tadi.

Walaupun tidak menyatakannya secara terbuka, nada jurulatih itu diselebungi kekecewaan dan kehampaan.

"Secara keseluruhan, saya puas hati dengan persembahan pemain kecuali dua detik yang menyaksikan lawan menjaringkan gol gara-gara sedikit kesilapan dan kelalaian kami," katanya.

Keputusan itu pasti meningkatkan tekanan terhadap jurulatih itu yang dikritik netizen kerana gagal memastikan kemenangan pasukan The Bos Gaurus.

Daripada tujuh perlawanan setakat ini, Perak hanya menang sekali, seri lima dan kalah satu.

"Satu mata ini tetap berharga walaupun mata penuh pasti lebih baik.

"Kami patut boleh menang jika beberapa percubaan lagi menggegar jaring lawan.

"Apapun, saya tidak boleh meminta lebih daripada ini kerana pemain sudah memberikan yang terbaik," katanya mengulas keputusan seri 2-2 itu.

Malah, Perak dinafikan kemenangan oleh pengadil, Suhaizi Shukri, dan pembantu pengadil 2, B. Suresh, apabila gagal mengesan bola rembatan Shahrel Fikri Md Fauzi yang sudah melepasi garisan gol pada minit ke-84.

Berdasarkan rakaman video, penjaga gol PKNS, Muhammad Zarif Irfan Hishamuddin, berada di dalam gawang ketika menendang keluar bola.