Selangor sentiasa di hati Mehmet Durakovic tetapi jurulatih pasukan The Bos Gaurus itu juga semakin sayangkan Perak.

Selepas 20 bulan bersama pasukan Yob, jurulatih itu mengakui hatinya semakin terpaut dengan Perak.

"Saya akui Selangor adalah cinta pertama saya kerana saya mencapai kejayaan bersama Gergasi Merah sebanyak empat kali.

"Bagaimanapun, cinta saya kepada Perak semakin berputik, terutama semenjak musim ini, kerana kehebatan pemain-pemainnya.

"Pasukan ini tiada bintang, sebaliknya terdiri daripada pemain berhati waja, bersemangat cekal serta tidak mengenal erti kalah.

"Kami macam satu keluarga dan cukup rapat. Ini adalah antara rahsia kejayaan kami musim ini.

"Bajet pasukan tidak besar. Perak mungkin pasukan nombor enam atau tujuh daripada segi perbelanjaan tetapi mengecap kejayaan besar dengan muncul naib juara Liga Super dan terbaru merangkul Piala Malaysia.

"Perak boleh pergi jauh jika asas kukuh yang telah dibina ini dibajai dan dijagai dengan baik," katanya dalam satu temu bual dengan stadiumastro.