Durakovic puas hati persembahan pemain simpanan 

Oleh Penulis Jemputan 28 September 2017 359
Durakovic puas hati persembahan pemain simpanan 
Pengendali Perak, Mehmet Durakovic, tetap berpuas hati dengan kemenangan tipis 1-0 yang dilakar ke atas Pulau Pinang dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, semalam.

Baginya, apa yang penting adalah tiga mata tetap berjaya diraih tanpa kelibat beberapa tonggak utama yang direhatkan.

Kemenangan yang dicapai dengan sebahagian besar pemain simpanan adalah petanda positif sebelum menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia, 314 Oktober depan.

"Sebagai jurulatih, saya mahu memberi peluang kepada semua pemain dan mereka beraksi dengan cemerlang sebanyak dua kali, pertama menentang Felda dan bertemu Perak malam ini. Saya sangat gembira," katanya.

Durakovic kini akan menggunakan tempoh rehat liga untuk memantau tahap kecergasan pemain serta melakukan persiapan taktikal untuk menghadapi JDT.

Dalam pada itu pengendali Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan, mengakui fokus utama pasukannya kini perlu terarah untuk persiapan pada musim depan.

Bagi Zainal, apabila sebuah pasukan Liga Super jatuh ke saingan Liga Perdana, ia penting buat pasukan itu segera kembali bangkit.

"Saya pernah bersama Dollah Salleh ketika di Pahang, kami turun ke Liga Perdana. Apa yang penting dalam masa setahun, kami perlu kembali ke Liga Super. 

"Dalam tempoh itu, kami perlu memperbaiki pasukan secepat mungkin dan ketika inilah kekuatan mental pemain-pemain dapat dilihat. Yang paling penting, kami mahu menaikkan kembali martabat bola sepak Pulau Pinang," katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen