Pengendali Perak, Mehmet Durakovic, tampak masih mempertahankan kedudukannya selaku jurulatih The Bos Gaurus walaupun pasukannya ditimpa malapetaka di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.

Juara Piala Malaysia 2018 itu dibelasah 7-0 oleh Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan keputusan berkenaan dipercayai telah merekodkan kekalahan terbesar skuad Perak dalam Liga Super sejak 2004.

"Tewas 7-0 bukanlah keputusan yang kami mahukan. Saya bertanggungjawab dengan kekalahan ini dan kami tewas dengan pasukan yang lebih baik dalam perlawanan ini. Perak juga turun tanpa beberapa pemain yang berpengalaman dan berharap untuk bangkit dalam perlawanan seterusnya," kata Durakovic.

Sementara itu, jurulatih JDT, Benjamin Mora, belum mahu mengangkat Ramadhan Saifullah Usman biarpun ubi muda itu cemerlang meledak jaringan dalam dua perlawanan berturut-turut.

"Kami telah berusaha keras dalam sesi latihan dan ia telah ditampilkan dalam perlawanan ini. Rata-rata pemain telah menampilkan aksi yang berkualiti. Ramadhan masih lagi pemain yang muda, kami akan berusaha untuk memberikan pendedahan kepadanya," kata Mora.