Jika boleh. Mehmet Durakovic mahu tinggal lama di Malaysia.

Ini kerana jurulatih itu dan keluarganya suka dan selesa tinggal di negara ini.

"Kami seronok tinggal di sini. Orangnya baik-baik dan peramah.

"Tidak ada masalah bagi saya sekeluarga untuk terus menetap di sini," katanya kepada stadiumastro.

Durakovic sempat berseloroh dengan berkata mahu tinggal di negara ini selama 25 tahun lagi.

"Saya sudah lama di Malaysia. Ia seakan-akan rumah kedua saya sekarang, " katanya yang sudah membuat urusan persekolahan anaknya di sebuah sekolah antarabangsa di Ipoh.

Durakovic mengakui keadaan bertambah baik sejak Perak muncul juara Piala Malaysia dengan dia menerima sapaan ke mana saja dia pergi.

Jurulatih dari Australia itu sudah memeterai ikatan dengan Perak untuk musim Liga M 2019 dan dijangka akan terus berada di Ipoh untuk semusim-dua lagi.

Apapun, Durakovic mahu pulang bercuti di Melbourne minggu depan sebelum kembali ke Ipoh untuk memulakan persiapan pra-musim awal Disember nanti .

Mengenai gambaran pasukan Perak untuk musim baru, Durakovic berkata majoriti pemain musim ini yang membantu pasukan Yob muncul naib juara Liga Super dan menjuarai Piala Malaysia akan dikekalkan.

"Namun, pasti akan ada muka baru kerana ia lumrah dalam bola sepak.

"Apapun, saya akan adakan perbincangan dengan pengurusan sebelum keputusan dibuat, " katanya.