Selangor semakin lengkap dalam pemburuan kuota pemain import musim depan selepas berjaya mendapatkan dua bintang Indonesia, Evan Dimas Darmono dan Ilham Udin Armain, selain Willian Pacheco dari Brazil.

Menurut ketua jurulatih Selangor, P. Maniam, usia muda bukan penghalang buatnya membawa masuk dua pemain terbabit yang dilihat sudah matang.

Evan mampu bertindak selaku perancang di bahagian tengah sementara Ilham boleh beraksi di posisi penyerang sokongan serta sayap.

Kedua-dua pemain terbabit dijangka menyertai Selangor selepas selesai tiga aksi persahabatan bersama skuad Indonesia bulan ini selain seorang lagi pemain, Pacheco, dari kelab Persija Jakarta.

"Pemain muda yang direkrut dari Indonesia memiliki kepantasan dan dalam tempoh beberapa saat, mereka mampu melakukan sesuatu.

"Corak permainan hari ini melibatkan kepantasan ketika melancarkan serangan dan segera memberi bantuan di bahagian pertahanan ketika diasak. Dengan kehadiran mereka, ia akan membantu Selangor untuk bermain dengan lebih baik," ujar Maniam.

Dalam masa sama, Maniam tidak menolak kemungkinan mereka akan menambah seorang lagi pemain import bagi mencukupkan kuota maksimum lima pemain.

Namun, dia menafikan akan menandatangani bekas pemain import UiTM FC, Akanni Sunday Wasiu, yang sebelum ini dikaitkan ke Red Giants.

"Saya sedang menunggu kata putus daripada pihak pengurusan. Kalau berpeluang kami akan ambil, jika tiada penambahan pemain import sekalipun, kami masih mempunyai kombinasi pemain senior seperti Amri Yahyah, Joseph Kalang Tie dan Azamuddin Akil," tambahnya.