Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, tidak menolak kemungkinan menandatangani bekas pemain tengah Felcra FC, Endrick Dos Santos, sebagai pemain import baru The Red Giants bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menerusi setiausaha agungnya, Dr. Johan Kamal Hamidon, mengesahkan semalam bahawa Dos Santos berada dalam radar Selangor.

Ia bagi mengisi kuota import pasukan itu selepas berjaya mengekalkan khidmat penjaring terbanyak Liga Super 2018, Rufino Segovia.

Sathianathan ketika ditemui hari ini turut mengesahkan pemain tengah kelahiran Brazil itu akan menyarung jersi Selangor dalam masa terdekat.

"Saya dapati dia (Dos Santos) merupakan pemain yang baik.

"Dia mempunyai keupayaan untuk menghasilkan hantaran yang baik.

"Dia pasti akan memberikan impak yang positif kepada pasukan kami.

"Usianya juga baru mencecah 23 tahun dan saya sukakan tenaga muda seperti itu.

"Dia mampu memberikan tenaga baru dalam pasukan ini," katanya.

Ia bermakna calon pemain import Selangor yang seterusnya bakal terdiri daripada pemain di posisi pertahanan dan antara yang berada dalam pemerhatian Sathianathan ialah pemain kacukan Vietnam-Republik Czech, Michal Nguyen.

"Jika mereka mampu mewujudkan persefahaman dan etika permainan yang baik, saya pasti akan memilih mereka.

"Namun, segalanya masih belum pasti.

"Terdapat beberapa pemain yang akan menjalani sesi ujian bersama kami.

"Kami perlu memastikan corak permainan mereka bersesuaian dengan pasukan," tambahnya.