Bekas penyerang import Terengganu, Dominique Da Silva, menafikan khabar angin yang mengaitkan dirinya dengan pasukan Perak musim depan.

Khabar angin bertiup kencang dengan kemungkinan perubahan hala tuju da silva yang kononnya akan berkelana ke The Bos Gaurus.

Situasi itu sama sekali disangkal penggempur berusia 31 tahun dari Mauritania itu sambil menegaskan dia masih belum terikat dengan mana-mana pasukan.

"Perak tidak pernah menghubungi saya, ia hanya desas-desus.

"Ejen saya sedang membincangkan tawaran daripada beberapa kelab jadi saya perlu tunggu posisi yang mampu mereka tawarkan.

"Kita tengoklah nanti," katanya ketika dihubungi.

Posted by TERENGGANU FC on Monday, December 14, 2020



Walaupun muncul selaku penyerang yang berada dalam kelompok tiga terbaik musim lalu, ia belum memadai buat Da Silva kekal dalam perancangan skuad Peteh musim hadapan.

Tegasnya, hanya beberapa rundingan tidak rasmi dengan pasukan Liga Malaysia (Liga-M), namun dia belum dapat pastikan sama ada akan terus mewarnai saingan Liga-M atau sebaliknya.

"Selepas tamat saingan di Malaysia, pasukan mengambil masa yang terlalu panjang untuk berbincang dengan pemain.

"Sebelum ini saya telah tunggu dua minggu di Malaysia, terdapat tawaran tapi bukan secara rasmi cuma kami sempat membincangkannya.

"Saya masih tunggu (tawaran) tetapi (usaha) pihak di Malaysia agak perlahan. Oleh itu saya belum pasti ke mana hala tuju selepas ini."