Pengendali Pahang, Dollah Salleh, mengakui menggalas tugas berat dalam mengembalikan zaman kegemilangan skuad Tok Gajah meskipun pasukannya dibarisi ramai pemain ternama untuk membawa cabaran musim depan.

Dollah kembali ke pangkuan Pahang selepas kali terakhir membimbing pasukan itu pada 2013.

Meninggalkan Pahang dengan kejuaraan Piala Malaysia, pasukan itu kemudian melalui detik pasang-surut dalam cabaran Liga Malaysia.

Musim 2016 menyaksikan tahun malap Pahang apabila bergelut untuk kekal dalam Liga Super.

Namun, Pahang tampak mahu mengembalikan semula detik gemilang mereka menerusi perbelanjaan besar untuk saingan musim depan.

"Memang tidak dinafikan penyokong-penyokong Pahang mengharapkan satu perubahan tahun depan, jadi ia satu tugas berat buat saya.

"Ini satu cabaran buat saya. Saya memang dah bersedia untuk membuat satu perubahan ke atas pasukan Pahang," katanya.

Dollah kini sedang mengenal pasti tiga pemain import baru untuk memperkuatkan Pahang selepas hanya berjaya mendapatkan khidmat bekas pemain import PDRM FA, Mohamadou Sumareh.

"Setakat ini, pemain import sahaja yang dalam perbincangan selain daripada Mohamadou yang sudah menandatangani perjanjian dengan kami.

"Tiga lagi pemain import masih di peringkat perbincangan, termasuklah kuota pemain import Asia yang masih dalam pencarian."