Jurulatih Pahang, Dollah Salleh, kecewa sebaik mendapat arahan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengenai penyerang Pahang, Mohamadou Sumareh, hanya boleh beraksi sebagai pemain tempatan bermula Mac depan.

Surat yang diterima Persatuan Bolasepak Pahang (PFA) dua minggu lalu itu membuatkan pengendali berkenaan berada dalam keadaan tertanya-tanya.

Sumareh sudah mendapat pengiktirafan untuk beraksi bersama skuad negara di bawah kendalian Tan Cheng Hoe, namun masih gagal mendapat hak sebagai pemain tempatan bersama Pahang.

Dia terpaksa menunggu sehingga Mac tahun depan atau lebih tepat selepas jendela kedua perpindahan pemain.

"Jika Sumareh sudah boleh beraksi bersama skuad kebangsaan, dia perlu dianggap sebagai pemain tempatan dan ia tidak seharusnya ditangguhkan lagi," kata Dollah.

Tindakan MFL merencatkan perancangan Pahang untuk membina pasukan lebih tersusun musim depan, namun Dollah mengharapkan isu itu mendapat pertimbangan sewajarnya daripada MFL.

"Kelewatan ini menjejaskan persiapan pasukan untuk saingan musim hadapan."

Sumareh sudah mendapat pengiktirafan sebagai warganegara Malaysia dan menerima kad pengenalan biru sejak April lalu.