Pertemuan di antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, boleh menjadi titik tolak hala tuju Liga Malaysia (Liga-M) musim ini apabila usul itu diajukan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

FAM mengetengahkan prosedur operasi standard (SOP) dalam menangani krisis novel koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia ketika ini dengan mengambil langkah berikutnya berhubung hasrat meneruskan saingan musim ini yang tertangguh sejak 16 Mac lalu.

Antaranya, pemain dan pegawai wajib menjalani ujian saringan dan bebak Covid-19 serta perlu mengisytiharkan rekod kesihatan.

"Saya berasakan (sama ada) hujung minggu ini atau minggu depan kami akan keluarkan (kenyataan).

"Ia berkaitan beberapa keputusan yang sedang dikaji," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, hari ini.




Dalam masa sama, Pahang terbuka meluahkan kempen musim ini perlu dibatalkan.

Jurulatih Tok Gajah, Dollah Salleh, menganggap pendirian Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, agar Liga Malaysia (Liga-M) musim ini dibatalkan adalah tepat.

Ia demi keselamatan orang ramai khususnya pemain, jurulatih dan penyokong bola sepak tanah air.

Tengku Abdul Rahman menerusi satu kenyataan media PBNP menegaskan penangguhan semua acara bola sepak untuk musim ini adalah jalan terbaik.

Ia bagi mereka yang terbabit dalam industri itu termasuk ahli gabungan yang bernaung dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selaku badan induk bola sepak negara.

Baginda menyeru pihak bertanggungjawab yang mengendalikan liga agar meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi segala-galanya.

Menyambut baik saranan pucuk pimpinan tertinggi PBNP itu, Dollah juga berasakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak perlu terdesak untuk meneruskan aksi tanpa penonton.

"Benda belum berlaku, kita kena berjaga-jaga. Nanti bila dah berlaku, barulah menyesal.

"Tanpa penyokong, stadium tidak ada nyawa. Pemain tidak ada rentak.

"Seolah-olah beraksi dalam latihan, susah dapatkan kualiti individu pemain.

"Kalau liga dibatalkan, perkara ini perlu dibincangkan dengan pengurusan untuk mendapatkan cadangan, contohnya (pampasan) selama beberapa bulan," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal.