Dickson nafi Pahang terkesan dengan kesukaran semasa

Oleh Ammar Hakim 28 Ogos 2020 1879
Dickson nafi Pahang terkesan dengan kesukaran semasa
Pemain import Pahang, Dickson Nwakaeme, menafikan Pahang terkesan dengan kesukaran semasa yang dihadapi ketika ini sebaliknya menegaskan keupayaan Pahang sering melakar kejutan sepatutnya digeruni pihak lawan, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Ketika ramai tidak meletakan Pahang sebagai pilihan walaupun beraksi di laman sendiri, Dickson hanya tersenyum.

Tegasnya, JDT ketika ini sedang berteka teki dengan kekuatan sebenar Pahang, dengan kelibat pemain muda yang akan diberikan tanggungjwab, itu adalah senjata rahsia Pahang malam ini.

"Tumpuan utama adalah berlatih dan beraksi bersama-sama pemain-pemain yang akan kekal bersama pasukan," kata Dickson menjelang aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur berdepan JDT, malam ini.

"Kami kehilangan beberapa tonggak utama ekoran kecederaan dan Covid-19 namun percayalah ini adalah Pahang, kami akan sentiasa memberikan yang terbaik."

Keadaan semasa bukan penghalang untuk Pahang memastikan tiga mata penting di laman sendiri walaupun masalah kecederaan pemain dan ketiadaan Mohamadou Sumareh seolah-olah menyukarkan misi menang Pahang.

Ketiadaan Sumareh bakal diisi pemain muda Pahang, Shahrul Nizam Mohd Nazir, yang akan membuat penampilan pertama selaku kesebelasan utama dalam skuad bimbingan Dollah Salleh.

"Sejujurnya, saya agak gementar mengisi kekosongan yang ditinggalkan Sumareh. Benar, dia seorang pemain yang berkualiti, tetapi saya akan cuba memberikan yang terbaik dan membalas kepercayaan jurulatih," katanya.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen