Bek tengah kelahiran Dakar, Senegal, Babacar Diallo, melengkapkan perpindahan ke Terengganu FC (TFC) daripada naib juara Liga Finland, Kuopion PS, hari ini.

Berketinggian 1.93 meter, pemain berumur 30 itu membuat 15 penampilan selain beraksi dalam kelayakan Liga Europa sebelum Kuopion PS tumpas kepada wakil Poland, Legia Warsaw, Julai lalu.

Kemasukan Diallo melengkapkan kuota lima pemain import TFC yang telah mendapatkan khidmat pemain sayap Singapura, Faris Ramli, dan penyerang, Dominique Da Sylva.

Dua lagi pemain iaitu kapten, Lee Tuck, serta bintang Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov, turut terus memperkuatkan jentera tengah TFC musim depan.

"Tumpuan kini adalah untuk membentuk keserasian dalam pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2020," kata pengendali TFC, Mohd Nafuzi Zain.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)