Biarpun tanpa dua ayam tambatan utama musim lalu, Kpah Sherman dan L´Imam Seydi, pengendali MIFA, K. Devan, masih optimis kehadiran pasukannya tidak akan dipandang sepi pencabar lain di pentas Liga Super.

MIFA digeruni musim lalu di pentas Piala Malaysia melalui gandingan mereka berdua yang menjadi nadi kepada kekuatan MIFA selain Bae Beom-Geun.

Namun, selepas MIFA layak ke Liga Super musim depan, ketiadaan Sherman dan Seydi pasti menimbulkan kegusaran adakah Devan mampu mengekalkan prestasi pasukan pada tahap sama.

Bagaimanapun, Devan menjelaskan beliau akan cuba mencari kualiti import setanding selain mengingatkan resipi kekuatan MIFA selama ini ialah semangat berpasukan yang tinggi.

"Saya berasakan kami mampu mencapai sasaran untuk menggantikan Sherman dan Seydi bagi menghadapi musim depan," katanya.

Antara import yang sedang diuji MIFA ialah bekas penyerang import Perak, Horace James.

Mengenai perjuangan dalam Liga Super musim depan, Devan menggambarkan pemainnya sudah bersedia sejak mengetahui mereka menjadi calon pengganti Felcra.

"Pemain-pemain positif apabila mengetahui bakal beraksi dalam Liga Super. Mereka sudah bersedia untuk menerima cabaran baru," katanya.