Ketika pasukan lain dibelengu kemelut penularan wabak covid-19 yang memaksa mereka beraksi tanpa penonton minggu ini, skuad PJ City mengalami cerita berbeza apabila saingan menentang Terengganu esok ditunda.

PJ City terpaksa menunda perlawanan keempat saingan Liga Super selepas gagal mencari venue alternatif bagi menggantikan Stadium MBPJ yang masih dalam kerja baik pulih.

Terkini, hasil pemeriksaan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Rabu lalu, permukaan padang masih belum berada di tahap terbaik dan ketua jurulatih PJ City, K. Devan, menjelaskan ia memerlukan beberapa minggu lagi untuk rumput tumbuh rata.

"Penangguhan perlawanan ini memberikan kelebihan buat pemain-pemain kembali ke tahap terbaik serta pulih daripada kecederaan. Kami cuba melihat positif di atas penundaan perlawanan dan berharap untuk beraksi di laman sendiri selepas ini," kata Devan.

Selain itu, Devan masih berpuas hati dengan prestasi anak buahnya biarpun baru meraih satu kemenangan menentang Pahang dalam aksi kedua awal bulan lalu.

"Prestasi pasukan agak baik ketika berdepan Felda dalam aksi pertama. Pemain-pemain mula menampilkan peningkatan."