Desakan supaya Kevin Ramalingam meletakkan jawatan tidak akan menyelesaikan isu denda oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terhadap tujuh pasukan.
Pandangan itu disuarakan oleh Presiden PKNP FC, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, yang berpendapat Kevin perlu diberi peluang untuk memperbaiki sebarang kelemahan.
"Beri peluang kepada dia memperbaiki sebarang kelemahan untuk menjaga kepentingan semua rakan kongsi kerana dia turut mewakili semua ahli gabungan bernaung di bawah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ," katanya ketika mengulas gesaan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais, supaya ketua pegawai eksekutif (CEO) MFL itu meletakkan jawatan berikutan isu denda yang dikenakan ke atas persatuan itu.
Posa menegaskan hukuman pemotongan geran tahunan ke atas skuad Ngap Sayot itu dan enam pasukan lain seperti tindakan menutup kelemahan badan pentadbir Liga Malaysia itu.
MFL mendenda tujuh pasukan Liga Malaysia termasuk Sarawak dengan memotong 50 peratus daripada jumlah geran bagi musim 2019 kerana gagal mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan pada 31 Disember lalu.
Pasukan yang didenda adalah Kuala Lumpur, Felda United FC dan Melaka yang beraksi dalam Liga Super manakala Kelantan, PDRM, Sarawak dan Pulau Pinang yang bermain dalam Liga Perdana.
Selain itu, Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, PDRM dan Sarawak turut dikenakan sekatan perpindahan bagi jendela perpindahan kedua bermula pada 2 Mei ini kerana mengulangi kesalahan sama seperti tahun lalu.
Lima pasukan itu dan Melaka diwajibkan menyerahkan dokumen/pelan yang menunjukkan kestabilan kewangan pasukan, jumlah pendapatan pasukan bagi musim 2019 dan bukti serta dokumen yang menunjukkan semua tunggakan hutang telah diselesaikan dalam tempoh 30 hari daripada pengumuman itu dibuat, iaitu pada atau sebelum 5 petang 22 Mei ini kepada MFL.
Kegagalan berbuat demikian dalam tempoh yang ditetapkan akan dikenakan pemotongan sebanyak tiga mata.
Zainol juga berpendapat pembayaran geran tahunan kepada ahli gabungan perlu disegerakan kerana banyak membantu pasukan-pasukan walaupun PKNP FC sendiri tidak berada dalam situasi terdesak.