Dennis dan Sarawak berpisah gara-gara masalah kesihatan

Oleh Shaiful Shamsudin 30 Disember 2016 5
Dennis dan Sarawak berpisah gara-gara masalah kesihatan
Sarawak terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pertahanan importnya, Teah Dennis, setelah pemain Liberia itu gagal dalam tiga ujian kesihatannya.

Pengurus pasukan, Datuk Posa Majais, ketika mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya terpaksa menelan hakikat itu biarpun ia berita yang amat pahit.

"Dennis seorang pemain yang berkaliber, berdisiplin dan telah bermain cemerlang selama lebih enam bulan bersama skuad Ngap Sayot.

"Namun perpisahan ini tidak dapat dielakkan kerana ujian kesihatan mendapati beliau dijangkiti Hepatitis B," katanya lagi.

Sepanjang musim lalu, katanya, Dennis bermain dengan cukup baik dalam memperkukuhkan kubu Sarawak, apatah lagi dengan insiden kecederaan dan kad merah yang melanda Ronny Harun dan Hairol Mokhtar.

Kata Posa, kali terakhir Dennis menjalani saringan kesihatan adalah ketika pasukan menjalani latihan dan perlawanan persahabatan di Perth, Australia baru-baru ini.

"Dennis kini tidak lagi dalam kem Sarawak dan sedang bersiap untuk kembali ke Liberia bagi menjalani rawatan.

"Dia akan pulang dalam tempoh terdekat, dalam dua tiga hari ini," katanya lagi.

Jelasnya, pihaknya berharap pemain berusia 24 tahun itu dapat menemui penawar bagi penyakitnya itu, seterusnya meneruskan kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.

"Ketika perbincangan diadakan baru-baru ini, Dennis sendiri begitu profesional dan akur dengan keputusan pasukan."

Dennis mula menyertai skuad Ngap Sayot pada pertengahan musim lalu bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Davide Grassi.

Berikutan situasi tersebut, Sarawak kini sedang memburu dua pemain bagi mengisi kekosongan kuota importnya.

Dua pemain yang telah diikat sebelum ini ialah Lee Jong Ho, 30 tahun dari Korea Selatan dan Mark Andrew Hartmann, 24 tahun, dari Filipina.

Rabu lalu, ketua jurulatih, David Usop, berkata dua pemain import telah menjalani sesi ujian bersama-sama skuad Ngap Sayot bagi mengisi kekosongan tersebut.

Kedua-duanya ialah Andy Lorei, 27 tahun, dari Amerika Syarikat, dan Kim Seong Hyeon, 23 tahun dari Korea Selatan.

"Enam atau tujuh pemain lagi akan datang pada sesi ujian pada 2 dan 3 Januari depan.

"Kami kini masih dalam proses menapis Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) dan berharap pemain-pemain tersebut akan datang untuk menjalani ujian," ujar David. 

Senarai lengkap pemain, kata David, dijangka diketahui dalam tempoh seminggu sebelum majlis pengenalan pemain dilangsungkan pada 8 Januari.
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen