Fokus. Fokus. Fokus. Itu arahan David Usop kepada anak-anak buahnya malam ini.

Kelemahan utama pasukan sepanjang musim ini baginya adalah kegagalan mengunci pergerakan lawan berikutan hilang fokus biarpun menguasai sebahagian besar perlawanan atau mendahului lawan.

"Justeru, dalam perlawanan penting malam ini, saya meminta mereka memberikan sepenuh tumpuan.

"Kekang musuh dan ledakkan gol," katanya.

Sarawak akan melayan kunjungan PDRM dalam aksi terakhir kempen Liga Super 2016.

"Kami hanya perlukan seri tetapi saya mahu anak-anak buah lakukan yang terbaik dan lebih daripada itu," jelasnya.

Beraksi di halaman sendiri di Stadium Negeri, David tidak menganggap ia kelebihan yang besar.

"Yang penting, setiap pemain perlu menunjukkan komitmen dan semangat juang yang tinggi.

"Kami tidak boleh abaikan sebarang peluang yang boleh menjejaskan buruan tiga mata untuk kekal dalam saingan Liga Super," tambahnya.

David mengakui PDRM bukanlah lawan yang mudah.

"PDRM adalah lawan yang kuat dan juga memerlukan kemenangan untuk kekal dalam kempen Liga Super musim depan.

“Oleh itu, kami perlu pastikan pemain-pemain beraksi sehabis kudrat dan fokus setiap masa," jelasnya.

Kata David, besar harapan beliau agar kemenangan malam ini akan menjadi "buah tangan" istimewa kepada pimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) musim ini.

Kem Sarawak sedikit ceria apabila perancang utama, Junior Aparecido, dapat diturunkan malam ini.

“Beliau mungkin dapat bermain tetapi bukan dalam kesebelasan utama," tambahnya.