Dapat lampu hijau, PJ City mula berlatih Isnin ini

Oleh Bernama 26 Jun 2020 99
Dapat lampu hijau, PJ City mula berlatih Isnin ini
Petaling Jaya (PJ) City FC boleh menarik nafas lega apabila mendapat lampu hijau daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk memulakan sesi latihan rasmi pasukan bermula Isnin ini.

Pengurus pasukan, K. Rajendran mengesahkan pihaknya mendapat kelulusan MFL hari ini, selepas menamakan Padang Latihan Sime Darby FC di Bukit Jelutong, Shah Alam sebagai venue latihan.

“Pagi ini kami memulakan latihan di gimnasium dengan mengasingkan pemain kepada tiga kumpulan, manakala latihan padang bermula Isnin ini. Saya bertemu dan berbincang dengan pemain, mereka dalam keadaan baik untuk turun berlatih selepas lebih tiga bulan tidak bermain secara kompetitif.

“Dari segi kecergasan, mereka berada dalam keadaan baik kerana membuat latihan sendiri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Cuma dari segi teknik dan kemahiran, memerlukan masa untuk mendapatkan kembali sentuhan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sebelum ini, skuad Phoenix itu terpaksa menunggu kebenaran kerana belum menentukan venue latihan tertutup walaupun berjaya melengkapkan dokumen lain seperti laporan keputusan ujian calitan, surat pengesahan ujian saringan COVID-19 oleh doktor pasukan serta nama pegawai penyelaras bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

PJ City FC menjadi pasukan Liga Super terbaharu untuk mendapat kelulusan MFL bagi memulakan latihan selepas UiTM FC, Selangor, Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC (TFC), Perak, Melaka, Felda United FC dan Kedah.

Sementara itu, Rajendran yakin skuad kendalian K. Devan itu bersedia untuk memberikan cabaran sengit dalam kempen Liga Super sekiranya saingan yang tertangguh sejak 16 Mac lepas, bermula lebih awal berbanding September.

“Kita memerlukan latihan lebih kurang sebulan untuk mendapatkan kembali rentak perlawanan. Kes COVID-19 pun semakin berkurangan dan liga di negara-negara lain pun sudah bermula, Liverpool juga telah bergelar juara Liga Perdana Inggeris.

“Jadi, kita berharap kerajaan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL dapat mempertimbangkan untuk menyambung Liga Malaysia menjelang Ogos ini,” katanya.

Beliau turut berharap MFL akan meluluskan penggunaan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai gelanggang rasmi pasukan itu setelah liga bersambung nanti, kerana kerja-kerja menaik taraf stadium itu telah selesai.

Pemeriksaan MFL pada Februari lepas mendapati stadium berkenaan tidak menepati kriteria digunakan sebagai gelanggang rasmi pasukan kerana keadaan padang tidak sesuai selain bilik persalinan masih dalam proses menaik taraf.

Selepas mencatat masing-masing satu kemenangan, seri dan kekalahan dalam tiga aksi liga setakat ini, PJ City menduduki tangga ke-10 daripada 12 pasukan dengan empat mata, manakala JDT berada di persada carta dengan 10 mata daripada empat perlawanan.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen