Pemain muda Felda United, Daniel Amier Norhisham, buntu memikirkan perancangan pasukannya musim depan kerana sehingga ke saat ini masih belum ada perbincangan rasmi di antara pihak pengurusan dan juga pemain.

Ketika pengendali Felda United, B. Sathiananthan, mengambil keputusan untuk angkat kaki selepas menilai status kewangan kelab itu musim depan, kini pemain pula berada dalam situasi tanda tanya.

Apa yang berlaku kepada Daniel ketika menyarung jersi Frenz United masih berbekas dan tidak menyangka dia turut berhadapan situasi hampir sama bersama Felda United.

Isu pemotongan gaji yang bertebaran ketika ini membuatkan Daniel perlu ada pilihan kedua memandangkan jumlah pendapatannya sebagai pemain muda tidak begitu tinggi.

"Saya perlu memikirkan pilihan yang dimiliki bagi memastikan masa depan dalam karier terjamin," kata Daniel.

Pemain ini berjaya memikat perhatian dua pasukan gergasi Liga Super, namun memandangkan dia masih memiliki baki kontrak selama setahun bersama Felda United, Daniel perlu mengadakan perbincangan lebih serius dengan pihak pengurusan Felda United.

"Terdapat beberapa pasukan telah mula menyuarakan minat mendapatkan khidmat saya tetapi buat masa ini, saya masih lagi terikat dengan Felda," ujarnya.