Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Damian Yeo Shen Li, diumumkan secara rasmi sebagai presiden baru Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) dalam kongres ke-64 persatuan itu di Ayer Keroh hari ini.

Setiausaha Agung MUSA, ​​​​​​​​​​​​​​Farhan Ibrahim, membuat pengumuman berkenaan dalam kongres yang dihadiri 46 perwakilan kelab gabungan MUSA dan Timbalan Presiden MUSA, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, yang juga timbalan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

MUSA, dalam satu kenyataan memberitahu, perkara itu selaras dengan artikel 40 Perlembagaan persatuan itu yang menyatakan sesiapa sahaja yang dipilih sebagai Ketua Menteri Melaka secara automatik adalah presiden MUSA dan boleh melantik sesiapa saja yang dianggap sesuai sebagai presiden.

Terdahulu, Yeo menerajui pentadbiran persatuan berkenaan berkuat kuasa 1 November lalu selepas Ketua Menteri, Adly Zahari, melepaskan jawatannya selama 20 bulan sebagai presiden persatuan itu bagi memberikan fokus kepada tugas pentadbiran kerajaan negeri.

Turut diumumkan dalam kongres itu ialah pemilihan naib presiden MUSA yang baru, iaitu Noor Azman Rahman, yang juga bekas Setiausaha Agung MUSA bagi menggantikan Datuk Harun Mohamad yang mengosongkan jawatan itu.

Beliau menjadi satu-satunya calon yang menerima pencalonan melebihi pencalonan minimum, iaitu 30 peratus daripada perwakilan kelab gabungan MUSA.

-- BERNAMA