Pengurus Melaka, Datuk Wira Yusof Mahadi, menganggap dakwaan Labinot Harbuzi kononnya Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) berhutang dengannya hanya tindakan nakal pemain terbabit.

Ketika skuad Melaka sibuk menyunting pemain ternama untuk cabaran Liga Super 2017, mereka digemparkan dengan dakwaan pemain dari Sweden itu.

Menerusi laman media sosial, bekas pemain tengah Melaka itu mendedahkan proses untuk menuntut bayaran daripada Melaka yang didakwa masih berhutang dengannya kini sudah dalam pengetahuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

"Saya baru dapat tahu berita ini. Sebenarnya tiada mana-mana pemain pun yang kami bayar bonus kemenangan itu. Jadi, ini satu perbuatan yang saya anggap nakal kerana sepatutnya dia datang bincang dengan ejennya dan bincang dengan kami.

"Kami akan menyelesaikan bonus pemain apabila kami bersedia," kata Yusof ketika diminta mengulas mengenai dakwaan itu.

Sementara itu, Yusof mengesahkan tiada penambahan pemain lagi setakat ini walaupun tonggak ternama lain dikaitkan ke Melaka musim depan.

"Sampai peringkat ini, kami mahu pemain-pemain yang berkemampuan sahaja sebab kami sudah cukup pemain. Melainkan mereka boleh tunjuk bahawa mereka lebih baik daripada apa yang kami miliki sekarang.

"Sebab itu, kami memberi peluang kepada pemain untuk pergi ke Melaka, yakinkan jurulatih. Jika jurulatih kata 'ya', kami kini memiliki pemain lebih baik', mungkin kami akan tandatangani pemain itu," tambahnya.

Melaka muncul juara Liga Perdana musim ini dengan rekod cemerlang selepas hanya tewas dua aksi.