Penyerang Terengganu FC (TFC), Dominique Da Sylva, enggan meletak sasaran peribadi untuk mengekalkan status penjaring terbanyak sebaik Liga Super bersambung nanti.

Bekas pemain Saigon FC itu sebaliknya berkata dia lebih memberi tumpuan kepada usaha mengembalikan prestasi terbaik susulan penundaan liga tempatan sejak Mac lalu.

Hal ini kerana penundaan berkenaan akuinya memberi kesan terhadap keyakinan serta momentum bukan sahaja kepada pemain malah kepada pasukannya.

"Selepas tiga bulan tidak menjejakkan kaki ke padang, kami perlu bermula dari sifar semula.

"Tapi sebagai pemain profesional saya tiada masalah untuk menyesuaikan diri dan bersedia meneruskan baki saingan liga.

"Saya juga tidak letak sasaran peribadi seperti Kasut Emas kerana fokus utama adalah tiga mata untuk pasukan," jelasnya selepas sesi latihan pertama TFC, petang tadi.

Dalam perkembangan sama, Da Sylva, 31, yakin program latihan pasca Covid-19 di bawah kendalian Mohd Nafuzi Zain akan membuahkan hasil kepada Sang Penyu.

Malah kemungkinan Liga Super disambung lebih awal juga tidak memberi masalah kepada mereka yang tampak bersedia menyambung baki lapan lagi perlawanan.

"Tidak kisah Ogos atau September, saya yakin jurulatih ada perancangan mempersiapkan pasukan sebelum liga diteruskan," tambah Da Sylva.

Kredit foto: Liga Bolasepak Malaysia (MFL)