Di kala Liga Malaysia (Liga-M) akan meneruskan saingan bermula 26 Ogos ini, terdapat dua pasukan lagi yang masih lagi belum memulakan sesi latihan.

Bagi PDRM FA, isu pelepasan menjadi punca utama mereka lewat memulakan latihan manakala UKM FC menganggap tiada kelebihan buat mana-mana pasukan sama ada bermula awal ataupun lewat.

Ketua jurulatih PDRM, Mohamad Ishak Kunju Mohamad, pula menyatakan pelepasan yang agak lewat daripada majikan sedikit merencatkan persiapan pasukan kendaliannya yang hanya akan mula berlatih esok.

"Kami tiada masalah untuk memulakan latihan.

"Semua proses dokumentasi sudah disempurnakan, cuma tertangguh untuk dihantar sebab ramai pemain kami terdiri daripada anggota polis dan atas komitment kerja, susah untuk mereka dilepaskan," katanya.

UKM pula muncul pasukan yang baru memulakan latihan hari ini.

Ketua jurulatihnya, Sulaiman Hussin, menyatakan walaupun latihan yang bermula agak lewat, namun ia tidak mengganggu momentum anak buahnya untuk menghadapi perlawanan Liga Perdana bertemu Kelantan pada 20 Ogos depan.

"Tempoh empat minggu ini cukup getir, saya harap ia sudah memadai untuk kami bersedia.

"Berdasarkan latihan hari ini, saya mahu menilai sejauh mana pemain buat kerja rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Tiada rungutan, kami akan patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan perlu bekerja keras.

"Paling penting ialah memastikan pemain mempunyai tahap kecergasan permainan yang mencukupi," katanya.