"FAM belum panik", itu reaksi Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam, berhubung kemungkinan kontrak pemain di penghujung musim terkesan ekoran penangguhan liga ketika ini.

Walaupun isu Covid-19 sudah membawa kepada perintah mengurangkan pergerakan di seluruh negara, FAM masih belum tekan butang panik.

Malah, kemungkinan lanjutan saingan liga juga tidak menjadi kebimbangan FAM, dengan melabelkan perintah daripada pihak kerajaan bukan tempoh masa yang panjang.

Secara jelas, isu kontrak pemain masih dalam kawalan FAM, walaupun saingan liga terpaksa dihentikan selama dua minggu.

"Untuk memastikan FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bersedia jika perkara ini terjadi, kami dalam perbincangan untuk menasihatkan pemilik saham, pemain-pemain dan kelab dengan untuk mengeluarkan maklumat dalam situasi yang perlu dihadapi ketika ini," kata Stuart.

FAM akan berterusan memantau keadaan semasa dan jika ada lanjutan perintah mengurangkan pergerakan daripada kerajaan, mungkin badan induk itu perlu mengambil tindakan drastik.

"Kami tidak perlu panik terhadap penundaan saingan ketika ini namun jika penundaan ini berpanjangan, kami perlu melakukan tindakan yang sewajarnya."