Covid-19: Skuad Harimau Malaya berkumpul awal 

Oleh Shaiful Shamsudin 11 Mei 2020 1557
Covid-19: Skuad Harimau Malaya berkumpul awal 
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merancang untuk memanggil pemain bagi menyertai kem latihan kebangsaan lebih awal menjelang Oktober depan.

FAM tidak menolak Harimau Malaya berkemungkinan akan mengharungi aksi persahabatan menentang Bahrain sebelum bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, 8 Oktober depan.

"Cadangan sesi latihan September depan merupakan salah satu inisiatif yang bagus untuk memastikan kecergasan permainan dalam kalangan pemain negara," kata Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, ketika dihubungi wartawan Nadi Arena, Norsyarafina Nasrom.

Jadual kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada 31 Ogos hingga 8 September depan terpaksa diabaikan yang menyaksikan program skuad kebangsaan yang dirancang FAM Oktober depan tampak singkat dan padat.

Justeru, cadangan itu boleh membuka ruang buat jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe, dan pemain kebangsaan membuat persiapan lebih rapi berdasarkan ketetapan yang ada dalam jadual FIFA, iaitu 5 hingga 13 Oktober 2020.

"Kami akan membuat panggilan kebangsaan awal sedikit bagi memastikan pemain kebangsaan mempunyai masa untuk bersama.

"Dengan itu, kami boleh mengharungi salah satu perlawanan persahabatan seperti yang dicadangkan, antaranya menentang Bahrain di tempat lawan sebelum kami berdepan UAE," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam. 

Badan induk itu dan penganjur, Liga Bolasepak Malaysia (MFL)  juga telah mencapai kata sepakat untuk memastikan aksi Liga Malaysia (Liga-M) tidak akan bercanggah dengan pelan dan tarikh yang di mahukan Cheng Hoe.

Daripada segi tempoh persediaan pasukan, ia jelas menyaksikan kem latihan kebangsaan yang paling singkat untuk Harimau Malaya menjelang aksi dengan UAE.

"Ia tidak akan bercanggah dengan kalander liga tempatan untuk memastikan tarikh yang diperlukan Cheng Hoe."

Dalam masa sama, bekas ketua pasukan negara, Zaquan Adha Abdul Razak, memberi bayangan keadaan yang bakal dilalui skuad negara agak sukar ekoran keadaan semasa.





Tetapi apa yang lebih penting ketika ini, semua pihak perlu memainkan peranan, bukannya meletakkan keseluruhan tekanan di bahu pemain semata-mata.

"Terpulang kepada kelab masing-masing.

"Sebelum ini, pasukan kebangsaan juga berdepan masalah mengadakan kem latihan, cuma ketika ini pemain tidak dapat berlatih bersama kelab masing-masing.

"Apa yang boleh kami buat adalah berlatih di rumah dan lakukan yang terbaik demi karier," katanya.
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen