"Football is Back." Itu slogan yang digunakan oleh komuniti bola sepak di negara ini apabila aktiviti bola sepak sosial dan rekreasi mula dibenarkan sejak 15 Julai lalu.

Dijalankan mengikut norma baru, segelintir peserta bagaimanapun dikatakan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Situasi itu sememangnya tidak disenangi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kerana khuatir perancangan untuk menyambung semula Liga Malaysia (Liga-M) terjejas disebabkan kecuaian pihak lain.

Kegusaran badan pentabdir liga tempatan itu juga wujud susulan kes baru harian COVID-19 dalam tempoh seminggu ini menunjukkan aliran meningkat.

Pasukan #LigaPremier2020 Terengganu FC II turut melakukan Latihan Pasukan Fasa 2 (latihan kontak) dengan Prosedur...

Posted by Malaysian Football League on Tuesday, July 21, 2020


"Mereka yang terlibat dalam permaianan bolasepak dengan menyewa padang, harus berdisplin dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Jangan ambil mudah.

"Kita tidak mengetahui kemungkinan ada dalam kalangan mereka ada sistem dan menghidap COVID-19.

"Disebabkan itu, kami tidak memulakan perlawanan persahabatan bermula pada 15 Julai 2020.

"Oleh itu, harus ada tempoh bertenang selepas menjalani perlawanan persahabatan dan ini yang yang kami menitikberatkan oleh MFL selain untuk memulakan liga," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ab Ghani Hassan.

Dalam perkembangan lain, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, hari ini memberi amaran kepada semua pasukan agar segera menyelesaikan proses pemisahan persatuan (FA) ke FC.

Stuart menegaskan kegagalan berbuat demikian boleh memberi kesan kepada liga selain pasukan itu sendiri.

"Ia akan melibatkan liga kita turun taraf, selain itu kelab atau pasukan itu tidak dapat bermain di Liga Super atau Liga Perdana.

"Perkara itu perlu dibincangkan bersama Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengenai arahan yang dikeluarkan ini adalah arahan oleh AFC beberapa tahun yang lalu.

"Ini bukan proses rundingan tetapi ditetapkan sendiri oleh AFC. Harap semua pasukan faham," katanya.

Empat pasukan sudah melengkapkan proses penswastaan kelab, menjelang tarikh akhir yang ditetapkan badan induk itu September depan.

Tanpa mendedahkan butiran terperinci, 12 lagi pasukan sedang giat melakukan proses berkenaan sementara enam pasukan belum berbuat demikian.

"Ada beberapa pasukan yang belum mulakan proses itu dan kami berharap agar pasukan ini dapat selesaikannya sebelum hujung bulan September ini," tambahnya.